Wahai saudari-saudari
muslimahku,
Cubalah kalian
nilaikan berapa banyakkah ibadah-ibadah yang kalian boleh lakukan ketika haidh
tetapi kalian masih tidak melakukannya. Bukaklah Hisnul Muslim, lihatlah
doa-doa dan zikir-zikir yang Nabi Muhammad s.a.w amalkan, nilailah, cerminlah
diri kita sudahkah kita amal semua zikir-zikir yang ada di dalamnya.
Jika masih belum
puas, periksalah pula kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi. Lihat berapa banyak
zikir-zikir dan doa-doa yang kalian belum amalkan. Jadi tiada alasan untuk
kalian wahai-wahai srikandi tercinta untuk berkata bahawa apabila haidh maka
kami kurang beribadah berbanding lelaki.
Wahai saudari-saudari
seaqidahku,
Dalam bab membaca dan
menyentuh al-Quran. Ulama-ulama umat masih berbeza pendapat tentang pengharamannya.
Seandainya saudari berpegang kepada pendapat mengharamkannya, masih banyak
ibadah yang saudari boleh lakukan bahkan tak akan habis untuk saudari lakukan
di satu malam.
Wahai srikandiku,
Apabila kalian uzur,
bukan alasan untuk kalian menghabiskan masa menonton televisyen tatkala si
suami sedang bersolat. Bukanlah ia menjadi alasan untuk saudari menghabiskan
hari siang dan malammu dengan tidur dan membiarkan si suami bersolat malam
sendirian. Bukan juga ia menjadi alasan untuk kalian membiarkan anak-anak
terkapai-kapai mempelajari al-Quran sendirian.
Wahai mujahidahku,
Cuba kalian kira,
berapa minitkah bagi setiap solat yang kalian lakukan apabila kalian berada di
dalam keadaan suci. Andai kata 5 minit. Kenapa tidak kalian gunakan 5 minit itu
untuk membaca doa-doa dan zikir-zikir yang Rasulullah s.a.w amalkan. Jika
kalian solat malam selama 1 jam di bulan Ramadhan ketika kalian suci. Kenapa
tidak kalian gunakan sejam itu dikala kalian uzur untuk kalian membanyakkan
istighfar, memohon keampunan daripada Tuhan. Biarkanlah air mata kalian keluar
pada malam itu. Biarkan ia menjadi saksi ketundukan kalian kepada Allah yang
Maha Pengampun.
Wahai saudariku,
Jika kalian tidak
berpuasa, gunakanlah kelebihan kekuatan yang ada pada hari itu untuk membantu
kawan-kawan kalian yang berpuasa. Saudari boleh sediakan hidangan berbuka untuk
mereka dan membiarkan mereka berehat. Saudari juga boleh membantu mereka
melakukan kerja-kerja rumah, dan mengurangkan kerja-kerja mereka. Bukankah ini
semua ibadah wahai srikandiku.
Wahai pemilik tangan yang bisa menggoncang dunia,
Jika saudari
berpegang kepada ulama yang menyatakan haram wanita uzur memasuki masjid,
masjid banyak ibadah yang boleh saudari lakukan dirumah. Jika saudari berpegang
kepada pendapat membenarkan saudari yang uzur ke masjid, banyak juga yang
saudari boleh lakukan di masjid walaupun tidak bersolat.
Saudari boleh
membantu menjaga kanak-kanak kecil yang sedang bermain tatkala ibu bapa mereka
bersolat. Saudari boleh bacakan kepada mereka kisah-kisah nabi, saudari boleh
mengajar mereka membaca Alif, Ba, Ta. Saudari boleh menenangkan mereka tatkala
mereka menangis menanti si ibu yang sedang bersolat. Bukankah ini semua ibadah
wahai srikandiku.
Ya ukhti,
Sungguh luas jalan ke
syurga yang Allah bentangkan untuk saudari. Janganlah saudari sempitkan jalan
yang luas itu. Mahukah saudari menempun jalan mudha ke syurga? Bukankah jalan
ke syurga dimudahkan untuk mereka yang menuntut ilmu.
Saudari boleh gunakan
masa yang biasa saudari lakukan untuk solat dengan membaca buku-buku agama.
Saya nasihatkan saudari untuk memulakan dengan bahan bacaan asas agama. Saudari
mulakanlah dengan membaca buku-buku berkaitan akidah. Pilihlah buku yang mudah.
Saudari boleh membaca Kitab at-Tauhid karangan Shaikh Muhammad bin Abdul Wahab.
Sangat ringkas buku ini dan mudah untuk saudari fahami. Saudari juga boleh
membaca buku saudara Hafiz Firdaus Abdullah tentang contoh-contoh hal yang
boleh merosakkan akidah. Selepas itu saudari hendaklah membaca buku tentang
bersuci.
Buku kecil Sifat
Wudhu Rasulullah amatlah berguna buat saudari. Selepas itu bacalah buku Sifat
Solat Nabi untuk saudari memperbaiki mutu solat saudari. Saudari juga tidak
boleh melupakan hukum-hakam khas untuk gadis atau wanita seperti saudari.
Bacalah buku-buku berkaitan hukum hakam haidh, istihadah dan lain-lain. Saudara
boleh membaca buku karangan Shaikh Shalih al-Utsaimin berkaitan hal ini.
Wahai saudariku,
Saya kira jika mahu
ditulis kesemua di sini akan hal-hal yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita
yang uzur, nescaya akan habislah dakwat pena, akan menjadi bermuka-muka tulisan
ini. Dan saudari juga mungkin tidak akan mampu melaksanakan kesemuanya.
Ya ukhti,
Ingatlah Allah Maha
Adil. Keuzuran pada wanita bukan penghalang mereka beribadah. Sematlah rasa
cinta pada Tuhan, yakinlah pada keadilanNya, titiskanlah air mata memohon
keampunanNya.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment